comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pemilik Syarikat Pengurusan Acara mengaku tidak bersalah ugut bunuh Anggota Kumpulan Radja

 

Johor Bahru : Pemilik Syarikat Pengurusan Acara dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membuat ugutan jenayah dan ancaman bunuh terhadap anggota Kumpulan Muzik Indonesia, Radja.

Bagaimanapun, tertuduh, C.S Muremthiran, 37 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan ugutan jenayah, dengan mengancam mahu membunuh Ian Kasela, 49, Seno Aji Wibowo, 37 dan Mouldyanshah Mulyadi, 49, dengan niat menyebabkan ketiga-tiga mereka berasa cemas.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terbabit di dalam Bilik Rehat Artis, Stadium Arena Larkin, Jalan Dato Jaafar, Johor Bahru, sekitar 11 malam, pada 11 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak 4 Ribu Ringgit dengan seorang penjamin manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili Peguam, Amarpreet Singh.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, Anggota Kumpulan Muzik terkenal Indonesia, Radja mengakui kecewa apabila menerima ancaman bunuh selepas selesai mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.

Kekecohan yang berlaku pada sekitar jam 11.15 malam itu dikatakan berpunca daripada isu salah faham antara pihak penganjur dan band berkenaan.

Loading...
Terkini