Tumpuan :
Nasional

Pemilik syarikat emas mengaku tak bersalah tipu GST RM2.22 juta

Foto hiasan

SHAH ALAM: Pemilik syarikat emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas lapan pertuduhan memberikan maklumat tidak betul dan catatan palsu dalam penyata berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM2.22 juta antara 2017 dan 2018.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Hasriq Zahari, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Berdasarkan empat pertuduhan, lelaki itu didakwa memberikan maklumat tidak betul berhubung cukai ‘input’ dan ‘output’ yang diikrar dalam penyata GST-03.

Ini bagi tempoh bercukai secara berperingkat antara 1 April hingga 2017 hingga 30 Jun 2018 yang menyebabkan kekurangan cukai yang dibayar berjumlah RM2.22 juta.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 88 (c) Akta GST 2014 boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.

Mohd Hasriq turut didakwa empat pertuduhan berkaitan membuat catatan palsu dalam penyata sama berjumlah RM2.22 juta dengan niat untuk mengelak cukai seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 89 (1)(b) Akta GST 2014.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan denda sehingga 20 kali ganda amaun cukai atau kedua-duanya.

Semua kesalahan dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pelabuhan Klang antara 12 Julai 2017 hingga 17 Julai 2018.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Mazliza Abdul Wahid manakala OKS diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Oktober ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini