IPOH: Kereta yang menghalang lalu lintas dalam kejadian di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo), di sini, semalam, dipandu oleh ahli keluarga seorang anggota polis.
Malah dalam kejadian yang tular dalam laman sosial itu, pemandu tersebut disahkan tidak mempunyai lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, susulan itu tiga saman dikeluarkan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan itu.
Menututnya, perakam kejadian kereta berkenaan tampil ke balai polis hari ini.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6.29 petang, Sabtu lalu. Kenderaan itu sememangnya dimiliki oleh seorang anggota polis yang bertugas di Batu Gajah.
“Bagaimanapun ketika kejadian kereta itu dipandu oleh salah seorang ahli keluarga anggota terbabit. Baju vest polis diletakkan di bahagian papan pemuka hadapan (dashboard) kenderaan adalah milik anggota berkenaan.
“Sehubungan itu, tiga saman trafik (Pol.257) dikeluarkan kepada pemandu dan pemilk kereta itu.
“Pertama kepada pemandunya kerana kesalahan halangan lalu lintas iaitu mengikut Kaedah 16(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [LN 166/59].
“Saman kedua juga dikeluarkan kepada pemandu iaitu mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen memandu yang sah. Manakala saman ketiga juga mengikut Seksyen dan Akta yang sama terhadap pemilik kereta kerana membenarkan seseorang memandu kenderaan tanpa lesen,” katanya menerusi kenyataan petang ini.
Yahaya berkata lagi, selain itu pihaknya turut memaklumkan siasatan kes itu kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk siasatan sudut tatatertib pemilik kereta (anggota polis berkenaan).
Malam tadi, media melaporkan polis sedang mengesan individu yang merakam gambar sebuah Proton Saga dipercayai milik polis yang menghalang lalu lintas dengan cara parkir berlapis (double park) di Persiaran Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini sebagaimana hantaran tular di laman Twitter.