Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Pemilik ladang babi bersama ayam pedaging yang diternak di dalam kawasan yang sama di Seberang Perai didapati bersalah melanggar Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020.
Menerusi kenyataan hari ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan, ladang babi berkenaan dengan jelas telah melanggar Peraturan 19 (1), yang menyatakan bahawa semua spesis haiwan dan unggas lain hendaklah tidak dibenarkan dipelihara di ladang babi.
“Justeru, satu notis arahan telah dikeluarkan kepada pemilik ladang untuk mengosongkan ayam pedaging daripada ladang babi berkenaan dalam tempoh tujuh hari,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, tular video di media sosial berkaitan penternakan babi bersama penternakan ayam pedaging di dalam satu kawasan yang sama di daerah tersebut.
DVS berkata, satu operasi bersepadu dijalankan semalam di antara DVS Pulau Pinang (DVS Penang) bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi menyiasat aduan dan hasil operasi mengesahkan perkara berkenaan.
Melalui operasi itu juga, DVS mendapati ayam pedaging hidup yang diternak di ladang terbabit tidak dihantar ke mana-mana rumah sembelihan dan hanya dijual di pasaran bukan Islam sahaja, dan tidak melibatkan penjualan ke lokasi lain.
“Untuk memastikan perkara ini tidak berulang, DVS akan memeriksa semua ladang babi bagi memastikan tiada spesis haiwan dan unggas diternak secara komersial di semua ladang babi.
“DVS akan turut mengeluarkan surat peringatan kepada semua ladang babi agar mematuhi peraturan pelesenan ternakan babi,” menurut kenyataan itu.
@buletintv3 Pemilik ladang ternak babi, ayam di kawasan sama langgar peraturan #ayam #babi #ladang ♬ original sound – BuletinTV3
Mengulas lanjut, DVS berkata, ladang terbabit adalah ladang babi yang berdaftar dengan pihaknya, tetapi tidak mempunyai lesen untuk beroperasi.
Ini kerana ladang berkenaan tidak mematuhi peraturan di bawah pelesenan yang menetapkan semua ladang babi perlu menaik taraf kepada sistem kandang tertutup dan ‘zero discharge’ iaitu tiada sisa kumbahan terlepas ke parit awam.
Ekoran itu, Notis Pengosongan Kandang, Penutupan dan Pemberhentian Operasi telah dikeluarkan kepada ladang tersebut.
“Satu kompaun di bawah Enakmen Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2016 telah dikeluarkan kepada ladang berkenaan dan membawa kepada kompaun sebanyak RM7,500.00 atau denda RM30,000.00 atau/dan penjara tiga tahun tertakluk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, DVS memohon agar penularan video itu dihentikan bagi mengelakkan kerisauan dalam kalangan orang awam.