MUAR: Polis menahan seorang pemilik kilang dan merampas 149 kotak mercun pelbagai jenis bernilai RM85,550 yang dipercayai dijual bagi menyambut perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, lelaki berumur 40 tahun itu ditahan 4.30 petang pada 12 Disember lalu oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di kilang miliknya di Bakri, Muar.
“Siasatan awal mendapati suspek menyimpan mercun tanpa permit yang sah untuk diedarkan sekitar daerah Muar dan sekitarnya sejak dua bulan lalu.
“Kesemua mercun yang dirampas disyaki untuk pasaran tempatan sempena perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina,” katanya pada sidang media rampasan berkenaan di Mess Pegawai IPD Muar petang tadi.
Raiz berkata, suspek direman sehari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Sementara itu dalam kes berasingan polis Muar juga menahan dua lelaki tempatan berusia 31 tahun dan merampas 451 kotak arak jenama Knight General tanpa cukai bernilai RM129,888.
Ia hasil serbuan di sebuah kilang deKat Jeram Bukit Batu, Bakri jam 3 petang pada 13 Disember lalu.
Sebanyak 13 tong plastik biru mengandungi 200 liter cecair disyaki pati arak bernilai RM26,000 turut disita.
Kedua-dua suspek ditahan reman dari 13 hingga 27 Disember depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.