Tumpuan :
Nasional

Pemilik kenderaan ada tunggakan 3 jenis notis saman akan disenarai hitam JPJ

Datuk Aedy Fadly Ramli ditemui di Sekolah Kebangsaan Bendang Nyior, di sini sempena majlis sumbangan Skuad Ihsan Madani JPJ dan pakaian seragam sekolah kepada mangsa banjir. FOTO: NSTP

TANAH MERAH: Bermula Julai depan, pemilik kenderaan yang mempunyai tunggakan membabitkan tiga jenis notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan disekat daripada melakukan urus niaga di jabatan itu termasuk disenarai hitam.

Tiga jenis notis saman JPJ terbabit adalah Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata tindakan lebih tegas itu akan diambil selepas tempoh tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan itu yang bermula awal bulan ini berakhir 30 Jun depan.

Katanya, JPJ akan membuat sekatan urus niaga dan menyenarai hitam pesalah jalan raya terbabit sehingga mereka membayar saman berkenaan.

“Mereka tidak boleh memperbaharui lesen dan cukai jalan kenderaan selagi tidak menjelaskan tunggakan saman.

“Jadi sekarang ini kita beri peluang kepada rakyat Malaysia yang mempunyai saman tiga kesalahan yang ditetapkan itu untuk menjelaskan segera.

“Ada dua juta lagi (saman tidak dijelaskan), masih banyak. Kita tidak akan cari (pesalah jalan raya) tapi kita sekarang dalam tempoh pemutihan, malah masih ramai belum tahu ada kadar kompaun khas ini,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir ke Sekolah Kebangsaan Bendang Nyior, di sini sempena majlis sumbangan Skuad Ihsan Madani JPJ dan pakaian seragam sekolah kepada mangsa banjir yang disempurnakan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata JPJ sudah menerima bayaran tunggakan saman RM12.5 juta sejak tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan terbabit dilancarkan awal Januari lalu.

Bayaran itu, katanya membabitkan 83,000 saman dan pihaknya masih ‘menunggu’ pesalah jalan raya lain untuk melangsaikan kira-kira dua juta lagi saman.

“Kompaun AwAS serendah RM150 sahaja jadi ambil lah peluang ini. Bayaran boleh dibuat melalui kaunter JPJ atau aplikasi MyJpj,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini