BATU PAHAT: Seorang pemilik kedai tayar didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan memukul kepala rakannya dengan botol arak sehingga menerima 20 jahitan, Sabtu lalu.
Khoo Boon Piew, 40, dijatuhi hukuman itu selepas bapa kepada tiga anak berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.
Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap rakannya berusia 42 tahun di sebuah kopitiam di Jalan Zamrud, Taman Soga, di sini, pada jam 2.45 pagi, 7 Disember lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh bersama mangsa masing-masing sedang minum di kopitiam terbabit sebelum berlaku pertengkaran.
Pertengkaran berpunca apabila tertuduh berang terhadap mangsa yang menceritakan perkara buruk mengenai anaknya.
Kemuncaknya apabila tertuduh mengambil botol arak lalu memukul kepala mangsa berkali-kali hingga berdarah.
Tertuduh juga membaling kerusi dan merosakkan meja makan di kopitiam itu dan mangsa dalam ketakutan kemudiannya melarikan diri serta membuat laporan polis.
Mangsa yang berlumuran darah kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan menerima lebih 20 jahitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Shariff.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap tertuduh.
Pada masa sama, mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan terhadapnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.