Tumpuan :
Nasional

Pemilik kad UNCHR jadi dalang pemerdagangan PATI warga Myanmar

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Negeri Kedah berjaya menahan seorang lelaki warganegara Myanmar, dipercayai menjadi dalang penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari negara asalnya.

 

Pengarah Imigresen negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, penahanan dilakukan sekitar jam 10.30 malam tadi di sebuah rumah di Taman Ria Jaya, Sungai Petani hasil risikan pasukannya selama satu minggu.

Ketika ditahan, suspek yang dipercayai menyediakan perkhidmatan transit pekerja asing yang tidak sah kepada majikan, turut menempatkan lima wanita dan seorang kanak-kanak di rumahnya.

“Hasil serbuan pertama itu, kita dapati suspek tinggal bersama isteri dan anak, serta 4 lagi wanita yang dipercayai PATI dalam tempoh menunggu transit kepada majikan. Susulan itu, serbuan kedua dilakukan di dua buah premis rumah kedai di Taman Batik.”

“Serbuan ini membawa kepada penahanan 26 orang PATI. Penahanan melibatkan 16 orang lelaki, dan 10 wanita. Siasatan awal mendapati ada PATI yang memasuki negara ini tanpa rekod, dan sebahagian lagi memasuki negara ini dengan pas lawatan sosial dan bertindak tinggal lebih masa,” katanya.

Semasa serbuan mendapati pintu jeriji besi premis tersebut dalam keadaan berkunci dan anak kuncinya hanya dipegang oleh lelaki tersebut dan dipercayai bagi mengelak penghuninya keluar dan berkeliaran di kawasan sekitar ataupun melarikan diri.

Tinjauan juga mendapati warga asing ini hanya dibekalkan tikar dan tilam nipis sebagai alas untuk tidur

Siasatan kemudiannya mendapati kesemua PATI itu katanya memasuki negara menggunakan beberapa pintu sempadan, dan dikumpulkan di Sungai Petani sebelum diagihkan kepada majikan yang memerlukan tenaga kerja.

Tangkapan keseluruhan adalah seramai 33 orang yang berusia lingkungan 2 sehingga 55 tahun dan sebanyak 24 naskhah pasport Myanmar telah dirampas untuk siasatan lanjut

“Dalang ini sudah tinggal di Malaysia selama 35 tahun, dan fasih berbahasa melayu. Kita sedang menyiasat penglibatan suspek dalam rangkaian sindiket, dan dia tempoh aktif menjalankan kerja pemerdagangan manusia ini.”

“Pemilik premis yang digunakan sebagai lokasi transit ini juga akan diambil tindakan. Tidak tahu apa aktiviti di dalam premis yang disewakan tidak boleh dijadikan alasan atas kealpaan,” katanya.

Dalam pada itu, dalang berusia 53 tahun yang ditemubual mengesahkan kesemua PATI ditempatkan di bangunan itu selepas mendapat permintaan dari majikan dan disediakan makanan dua kali sehari.

“Majikan mereka ini dari Johor. Hanya 20 orang telah diambil dan PATI yang selebihnya ini akan diambil dalam masa terdekat. Tapi, kami sudah ditahan semalam.”

“Makanan disediakan pada harga RM14 sekepala yang disediakan kosnya oleh majikan mereka ini. Namun setakat ini hanya mendapat bayaran bagi bulan pertama, selebihnya saya belum terima,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Kesemua tangkapan direman di Depot Imigresen Belantik untuk siasatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini