comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemilik halalkan ikan arowana yang hanyut

JOHOR BAHRU: “Harap tiada pihak yang salahkan penduduk kampung. Perkara sudah berlaku dan ia di luar kawalan saya,” kata pemilik kolam ikan hiasan di Layang-Layang, Kluang di sini, yang dikenali sebagai Ng.

Ng berkata dia yang menjalankan perusahaan ternakan ikan hiasan Arowana sejak 35 tahun yakin ternakannya itu hanyut ke merata tempat dan hanya bukan di lokasi berhampiran saja.

Menurutnya, usaha mendapatkan kembali kira-kira 15,000 hingga18,000 ternakan itu adalah perkara yang rumit dan berpandangan dia wajar menghalalkan ikan yang ditangkap oleh penduduk.

“Diri saya mahupun orang kampung tidak bersalah, jangan mengecam kejadian ini kerana ia berlaku tanpa diduga.”

“Saya sudah lama menjalankan perusahaan ini dan memiliki hubungan baik dengan penduduk kampung, biarlah mereka mengambil atau sebaliknya ikan yang ditemukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ng berkata setiap satu ikan arowana induk berkenaan bernilai RM20,000 dan dalam kejadian itu dia terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit.

Menurutnya, dia perlu tabah menghadapi saat sukar berkenaan dan mengorak langkah untuk memindahkan perusahaannya ke lokasi lebih sesuai.

“Kejadian itu mungkin berpunca daripada kerja pembinaan infrastruktur tertentu, diharap pihak berkaitan menjalankan siasatan dengan segera.”

“Saya sudah melaporkan kejadian kepada pihak polis dan akan mengambil tindakan mahkamah,” katanya.

Kelmarin media melaporkan ribuan ekor ikan spesis arowana ditemukan dalam kawasan anak sungai dan parit di sekitar kawasan Layang dan Simpang Renggam.

Ikan hiasan bersisik emas dan putih dalam anggaran berat dua kilogram dipercayai dihanyutkan dari kawasan kolam ternakan kawasan berdekatan.

Ia mendorong penduduk menangkap ikan-ikan itu.

Dalam beberapa video dan foto yang tular, ada di antara mereka yang menjadikan ikan hiasan berkenaan sebagai hidangan makan tengah hari.

Video aktiviti penduduk menangkap ikan berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

Mengikut beberapa pendapat, spesis ikan berkenaan turut hanyut hingga ke Sungai Sayong dan Kota Tinggi.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini