Tumpuan :
Nasional

Pemilik dashcam nahas 2 remaja maut belum muncul – Polis

SEREMBAN: Pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang diminta tampil bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan dua remaja maut di Matahari Heights, di sini, pada Khamis lalu, belum muncul.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kerjasama pemilik dashcam amat penting bagi memudahkan proses siasatan dilakukan.

“Sebab itu pentingnya kerjasama pemilik dashcam yang berkongsi video kejadian itu di media sosial supaya tampil untuk bantu proses siasatan.

“Setakat ini hanya dua saksi tampil memberi keterangan iaitu ibu pemandu Honda Jazz dan seorang saksi awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya juga masih belum mengambil keterangan mangsa yang terbabit kerana mereka masih dirawat di hospital.

Sebelum ini tular rakaman dashcam daripada sebuah kenderaan yang memaparkan kejadian kemalangan yang meragut nyawa dua remaja di Persiaran Senawang 1 itu.

Media pada Jumaat melaporkan, dua remaja masing-masing berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dikatakan dirempuh sebuah kereta Honda Jazz dipandu lelaki berusia 18 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini