Tumpuan :
Nasional

Pemilik bot pelancong dikompaun, bawa penumpang melebihi had

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Lapan kompaun dikeluarkan kepada pemilik bot pelancong yang didapati membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan serta menggunakan bot untuk membawa barangan kargo.

Ia dikesan dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga di perairan Kuala Terengganu dan Pulau Perhentian, Besut.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, ACP Zulafendy Hassan berkata, 51 bot bersama 270 penumpang telah diperiksa sepanjang operasi yang dijalankan dari 3 hingga 10 Februari lalu.

“Empat buah bot ronda telah digerakkan sepanjang operasi bagi menguatkuasakan undang-undang mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (Merchant Shipping Ordinance 1952),” katanya.

Menurutnya operasi juga bertujuan memastikan nakhoda bot bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah serta memberi kesedaran kepada komuniti maritim untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Aspek keselamatan sangat dititikberatkan dalam operasi dan kami amat mengalu-alukan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim,” tambahnya.

Masyarakat juga diseru untuk terus memberi sokongan dalam usaha memelihara keselamatan dan ketenteraman di perairan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini