Tumpuan :
Nasional

Pemilik bengkel kenderaan parah ditikam pelanggan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik bengkel kereta cedera parah di leher dan dada selepas ditikam pelanggannya dalam kejadian di premis berkenaan di Subang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 5.20 petang dan sebelum itu, lelaki berusia 54 tahun berkenaan telah membaiki kereta milik suspek lelaki berusia 40 tahun yang mengalami masalah brek.

“Setelah kerosakan dibaiki, suspek telah membuat pembayaran dan beredar dari bengkel itu, bagaimanapun dua jam kemudian suspek telah datang semula ke bengkel terbabit dan berlaku pertengkaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semasa pertengkaran, suspek telah menyerang mangsa dengan senjata tajam pada leher dan dada sebelum melarikan diri menaiki kereta jenis Perodua Alza.

“Mangsa yang mengalami pendarahan telah berjalan sejauh 200 meter ke sebuah klinik swasta sebelum pengsan di bahagian pejalan kaki klinik berkenaan. Mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil,” katanya.

Wan Azlan berkata motif kejadian masih dalam siasatan manakala suspek telah dikenal pasti dan sedang dikesan.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah.

Dalam kejadian lain, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun di hadapan Depoh Bas Sentul di sini, Ahad lepas selepas disyaki memeras ugut seorang pekerja kedai makan.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata lelaki yang memiliki 15 rekod jenayah dan dadah itu ditahan pada 7.41 malam dan kini direman hingga Khamis ini.

“Kertas siasatan telah dilengkap dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya hari ini serta menunggu arahan lanjut,” katanya.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini