Tumpuan :
Nasional

Pemilik akaun X dikesan buat hantaran aib anggota polis trafik

FOTO: PDRM

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan pemilik akaun aplikasi media sosial X yang dipercayai membuat hantaran bertujuan mengaibkan anggota polis trafik

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung hantaran yang tular itu pada jam 7.30 pagi semalam.

“Pemilik akaun aplikasi X menggunakan nama ‘Syedewa’ dikesan memuat naik gambar pegawai polis yang sedang menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR) di Damansara Damai pada jam 10.45 pagi, Selasa lalu.

“Hantaran berkenaan bertujuan mengaibkan imej pegawai polis yang sedang menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Shahrulnizam berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, polis kini sedang mengesan pemilik akaun terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kes itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Terdahulu, tular di media sosial hantaran mengenai tindakan anggota polis dikatakan cuba mengeluarkan saman terhadap pemandu kereta yang didakwa tidak memakai tali pinggang.

Menerusi hantaran itu, dia mendakwa meminta bukti kesalahannya namun anggota terbabit menyuruhnya menyelesaikan kes di mahkamah.

Pemilik akaun itu turut memuat naik gambar menunjukkan anggota polis trafik terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini