KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, penyandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani secara rasminya sah memenangi jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO kali ini.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menerima 125 undi diikuti Khaled (114) dan Johari (108).
Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad pada sidang media di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.
Turut diumumkan jawatan Pengerusi Tetap UMNO yang dimenangi Tan Sri Badruddin Amiruldin dengan 175 undi, manakala Timbalan Pengerusi Tetap pula disandang Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah (127).
Bagi jawatan MKT, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah mendapat undi terbanyak.
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di tempat kedua, diikuti Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Turut terpilih, Datuk Zahida Zarik Khan, Datuk Mohd Razlan Rafii, Isham Jalil dan Datuk Lokman Noor Adam.
Menurut Shahrir, jawatan MKT memperlihatkan munculnya muka-muka baharu yang dipilih perwakilan seluruh negara.
“Untuk 25 jawatan MKT, kita hanya dapat tunjukkan kedudukan mereka seperti dalam paparan. Kalau dilihat kepada jawatan ini, ada muka baharu termasuk mereka yang pernah dilantik sepanjang penggal lalu.
“Akan adanya muka-muka baharu daripada kalangan mereka dilantik dahulu dan pada penggal ini menang atas sokongan bagi diri mereka sendiri,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan JPU dan Jawatankuasa Bantahan akan menimbang segala bantahan diterima berkaitan pemilihan dalam masa tiga hari ini.
“Terdapat empat daripada 191 bahagian yang telah digantung dan tidak akan terlibat dari segi soal keputusan pemilihan jawatan-jawatan MKT.
Dua daripadanya ialah UMNO Bahagian Tanah Merah dan Kota Kinabalu yang diumumkan sebelum ini manakala dua lagi bahagian ialah Johor Bahru dan Beluran.
“Keempat-empat bahagian ini tidak akan terlibat dalam keputusan jawatan-jawatan peringkat pusat dan akan mengadakan semula mesyuarat perwakilan mereka selepas ini,” katanya lagi
Kira-kira 190,000 perwakilan UMNO dari 189 bahagian seluruh negara memilih barisan kepimpinan baru untuk menerajui parti itu tiga tahun akan datang.