comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemetik buah maut tersangkut di dahan pokok dokong

Foto hiasan

JERTIH: Seorang lelaki ditemukan maut pada ketinggian kira-kira enam meter di atas pokok dokong di Kampung Dusun Beliku, Hulu Besut, petang semalam selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa Saari Ghani, 53, ditemukan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira 5 petang dan didapati telah meninggal dunia dipercayai akibat leher mangsa tersangkut di celah dahan pokok dokong.

“Lokasi kejadian kira-kira 200 meter dalam kebun belakang rumah mangsa. Anggota bomba memanjat pokok itu dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM ) dan penduduk kampung, bagi menurunkan mangsa dari pokok tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Rozak berkata kira-kira jam 9 pagi kelmarin, mangsa telah memberitahu isterinya Normah Siling, 53, bahawa dia hendak pergi memetik buah-buahan di kebun berkenaan, namun isteri mangsa mula berasa bimbang apabila mendapati dia tidak pulang ke rumah, hingga 7 malam.

“Setelah suaminya tidak pulang hingga hari ini (semalam), Normah meminta saudaranya mencari mangsa pukul 10 pagi. Namun tidak menemukan mangsa,” katanya.

Abdul Rozak berkata lagi, isteri mangsa kemudian membuat laporan polis dan susulan itu operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan membabitkan polis, JBPM, APM dan penduduk kampung.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan siasatan awal polis mendapati tidak berlaku sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini