KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan dalam memperkasa kelas pengajian Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara menjadi antara tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, perkara itu dibangkitkan Sabri Azit (PN-Jerai) kepada Perdana Menteri ketika waktu pertanyaan-pertanyaan Menteri.
Pada sesi sama, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta Menteri Komunikasi menyatakan alasan Kerajaan Persekutuan memberikan lesen kepada Syarikat U Mobile Sdn Bhd untuk melaksanakan
rangkaian kedua 5G memandangkan 48.28 peratus saham equiti syarikat itu
dipegang oleh firma asing dari Singapura.
Beliau juga membangkitkan persoalaan sama ada keputusan kerajaan tersebut bercanggah dengan
pengurniaan kontrak.
Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah punca sebenar kejadian seorang remaja maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon
bimbitnya di dalam sebuah bas di Pulau Pinang baru-baru ini.
Selain itu, Young Syefura Othman (PH-Bentong) ingin tahu rancangan Kementerian Kerja Raya untuk menyelaraskan aduan berhubung kerosakan jalan menerusi aplikasi MyJalan.
Ia susulan dapatan yang dikeluarkan setakat 6 September lepas, sejumlah 18,878 aduan
berkenaan jalan telah dilaporkan, dan hanya 31.03 peratus aduan
jalan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) manakala selebihnya lagi di bawah agensi lain.
Pada masa sama, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menambah baik prestasi sukan kebangsaan.
Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar oleh menteri daripada setiap kementerian.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.