Tumpuan :
Nasional

Pemerkasaan 2 akta berkaitan kanak-kanak pastikan keberkesanan sistem pengadilan

Satu sesi libat urus diadakan hari ini di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), dihadiri oleh pihak berkepentingan yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, ahli akademik dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) yang berkaitan isu kanak-kanak. – Foto Ihsan JPM

PUTRAJAYA: Pindaan terhadap dua akta berkaitan penganiayaan kanak-kanak penting bagi memastikan keberkesanan sistem pengadilan jenayah dalam mengendalikan kes kesalahan seksual membabitkan golongan itu.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan sentiasa peka dengan isu penganiayaan kanak-kanak.

Atas dasar itu, satu sesi libat urus diadakan hari ini di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), dihadiri oleh pihak berkepentingan yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, ahli akademik dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) yang berkaitan isu kanak-kanak.

Turut hadir, wakil daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Peguam, Family Frontiers, Pasukan Pencegah Penganiayaan dan Pengabaian Kanak-Kanak (SCAN) serta NGO berkaitan.

Kenyataan itu menyebut, sesi libat urus itu untuk mendapatkan cadangan, pandangan dan maklum balas berkaitan cadangan pindaan terhadap Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676).

“Sesi libat urus itu dimulakan dengan ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said disusuli dengan pembentangan daripada Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal; Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr Farah Nini Dusuki; dan Pakar Perlindungan Kanak-Kanak, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, S Selvi,” katanya.

Kenyataan sama memaklumkan sesi berkenaan membincangkan beberapa isu termasuk cabaran dihadapi ketika siasatan dijalankan, proses pendakwaan, perbicaraan dan pasca perbicaraan bagi kes jenayah yang membabitkan mangsa dan saksi kanak-kanak; keperluan untuk menambah baik fasiliti yang sedia ada di Mahkamah; dan penyelarasan usia kanak-kanak kepada 18 tahun dalam akta-akta berkaitan.

Turut dibincangkan, isu penerimaan keterangan saksi kanak-kanak oleh mahkamah tanpa keterangan sokongan (Corroborative evidence); peruntukan undang-undang yang baharu untuk membendung eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak, pembayaran pampasan oleh tertuduh kepada mangsa, bantuan pemulihan untuk mangsa dan saksi kanak-kanak serta memperkasakan perkhidmatan pendamping guaman (legal companion) yang sedia ada.

Panel juga membincangkan isu kewujudan elemen tanggungan keras (strict liability) dalam undang-undang berkaitan kesalahan seksual kanak-kanak dalam keadaan tertentu; dan pemberian kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengekstrak keterangan daripada alat digital dan komunikasi.

Kenyataan itu juga menyebut, kerajaan komited dalam penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai suatu badan bebas yang dapat memantau dan memelihara hak kanak-kanak di Malaysia.

Bagaimanapun, penubuhan suruhanjaya berkenaan memerlukan pandangan pelbagai pemegang taruh dan penggubalan suatu undang-undang.

Berikutan itu, katanya, kerajaan berhasrat mewujudkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak bawah SUHAKAM, sebagai penyelesaian jangka pendek.

Loading...
Terkini