KUCHING: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Allahyarham Datuk Talib Zulpilip sebagai pemimpin yang berintegriti tinggi dan sentiasa memerangi rasuah.
Beliau berkata, berikutan prestasi cemerlangnya, ADUN Jepak itu diberi tanggungjawab sebagai menteri pertama yang mengetuai Kementerian di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak pada 2017.
“Ya, beliau diingati kerana memerangi rasuah di Sarawak dan kerana integritinya yang tinggi, saya memberi tugas kepada beliau untuk mengetuai sistem ombudsman di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat jenazah di Kompleks Tanah Perkuburan Islam Samariang, di sini malam tadi.
Abang Johari berkata, selepas mempertahan kerusi Jepak pada Pilihan Raya Negeri lalu, Allahyarham banyak menyumbang idea kepada pembangunan di Jepak Jaya yang terletak di bahagian Bintulu menerusi Lembaga Kemajuan Bintulu.
“Beliau menjadi penasihat untuk kerajaan negeri bagi melihat pembangunan di kawasan berkenaan…saya mewakili pihak kerajaan dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengucapkan takziah atas pemergian beliau,” katanya.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 5.50 petang semalam di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang jam 10.12 minit malam tadi.
Allahyarham, 72, meninggalkan seorang balu, empat anak dan empat cucu.