Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pemergian Sri Ram kehilangan besar kelompok perundangan negara

 

KUALA LUMPUR: Ucapan takziah daripada kelompok pengamal undang-undang dan badan kehakiman mencurah-curah susulan pemergian peguam terkemuka, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang disifatkan ramai dalam kalangan mereka sebagai pakar perundangan cemerlang atau dirujuk sebagai ‘legal eagle‘.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, ketika dihubungi berkata negara kehilangan pakar perundangan dan pengamal undang-undang utama yang hebat.

Mayat mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram dituntut ahli keluarga di sebuah hospital swasta, hari ini. – Foto BERNAMA

“Saya mengenalinya secara peribadi sejak 1980 ketika saya menjadi Penolong Pendaftar Kanan. Mendiang seorang yang sangat berbudi bahasa, merendah diri dan sentiasa bersedia untuk berkongsi ilmu pengetahuan mengenai undang-undang.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dalam menempuh detik-detik yang sukar ini,” katanya.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berkata pemergian mendiang adalah kehilangan amat besar kepada Badan Kehakiman dan keseluruhan kelompok perundangan negara.

Beliau berkata, mendiang banyak berjasa kepada Badan Kehakiman sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai hakim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Mendiang menjadi Hakim Mahkamah Rayuan selama 15 tahun bermula daripada penubuhan Mahkamah Rayuan pada 1994 sehingga dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2009.

“Sesungguhnya, pemergian mendiang adalah kehilangan yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khasnya, dan negara amnya,” katanya dalam kenyataan media.

Tengku Maimun yang mewakili badan kehakiman dan seluruh warga kerjanya, mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Sri Ram di atas pemergian mendiang.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, yang turut bersedih dengan pemergian Sri Ram berkata, mendiang menyumbang secara ketara kepada perundangan Malaysia seperti yang terbukti dalam banyak penghakimannya.

“Saya mengenalinya sejak menjadi Majistret di Bukit Mahkamah. Hubungan saya dengannya sentiasa mesra dan ini berterusan walaupun selepas bersara. Pemergiannya satu kehilangan besar kepada profesion guaman.

“Saya akan merasakan kehilangan saudara saya Hakim Gopal Sri Ram. Saya ingin mengucapkan takziah kepada isteri dan anak-anaknya. Semoga beliau bersemadi dengan tenang,” katanya.

Seorang lagi bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, dalam pesanan ringkas berkata, Sri Ram adalah hakim yang hebat, dan peguam yang mengagumkan ketika di mahkamah.

Peguam jenayah, Datuk V Sithambaram, pula menyifatkan Sri Ram sebagai ‘legal eagle‘ kerana bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu mahir dalam kedua-dua kes sivil dan jenayah.

“Beliau tidak lokek berkongsi ilmu dengan peguam muda. Beliau juga pernah mengendalikan beberapa kes tanpa bayaran. Pemergiannya adalah kehilangan besar kepada negara dan badan perundangan,” katanya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, mendiang Sri Ram adalah seorang peguam yang penuh dengan kejutan, di samping mempunyai ingatan yang luar biasa mengenai undang-undang dan sejarah.

“Apa yang paling saya suka mengenai mendiang ialah ideanya yang tidak pernah lapuk, sentiasa terus mendalami ilmu dan sering menerapkan idea baharu. Takziah kepada keluarga mendiang, dan mereka yang dekat dengannya. Kita pasti akan merindui telatah beliau di mahkamah.

“Saya mengenalinya ketika mendiang seorang pengamal undang-undang muda yang bersemangat dan saya adalah timbalan pendakwa raya baharu pada 1977.

“Kami sering berada di pihak bertentangan, tidak sehaluan di mahkamah sejak awal, sering bertembung dalam banyak kes jenayah dan sivil yang hebat,” katanya.

Seorang lagi peguam, Datuk Dr Baljit Singh Sindhu, yang menyifatkan mendiang Sri Ram sebagai peguam dan hakim yang hebat berkata, dedikasi dan keyakinan mendiang yang menakjubkan terhadap perundangan undang-undang tidak boleh dipertikaikan.

“Kadang-kadang sangat agresif, begitulah sifatnya. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Sri Ram meninggal dunia hari ini pada usia 79 tahun di sebuah hospital swasta di sini, selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) minggu lalu kerana jangkitan paru-paru.

Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rasuah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mendiang juga adalah timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang membabitkan projek hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang. – BERNAMA

Loading...
Terkini