comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Pemergian Siti Zaharah kehilangan buat UMNO, negara’

KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO menyifatkan pemergian Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman sebagai satu kehilangan besar kepada parti itu.

Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Allahyarham selama ini banyak berjasa dalam perjuangannya demi agama, bangsa dan negara.

“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarhamah Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman yang meninggal dunia kira-kira jam 11.23 malam tadi.

“Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada negara dan juga UMNO, kerana banyak jasa Allahyarham perjuangkan demi agama, bangsa dan negara selama ini,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sumbangan beliau kepada parti dan negara tidak ternilai dan akan terus dikenang oleh semua lapisan masyarakat.

“Allahyarham Zaharah sudah banyak memberikan jasa dan sumbangan buat negara dan bangsa, khususnya dalam pembangunan Wanita UMNO,” katanya.

Turut menzahirkan ucapan takziah, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Allahyarham yang merupakan bekas Ketua Wanita UMNO dan bekas Ahli Parlimen Paya Besar, meninggal dunia di usia 75 tahun.

Allahyarham pernah menggalas tugas sebagai Pengerusi Institut Kemajuan Wanita Malaysia (IKWAM) serta beberapa jawatan penting dalam kerajaan antaranya Timbalan Perancangan, Dewan Bahasa dan Pustaka (1980-1986).

Selain itu, Allahyarham pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (1986), Timbalan Menteri Kesihatan (1995-1999) dan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (1999-2004).

Terdahulu pagi tadi, anak sulung kepada Siti Zaharah, Timoer Dzakry Samarudin memberitahu ibunya meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor.

Beliau berkata, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, Selangor pada 11.30 pagi ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini