Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
GOMBAK: Pemergian lagenda muzik tanah air, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, 92, yang meninggal dunia di kediamannya petang tadi disifatkan sebagai kehilangan sebuah permata dalam industri seni negara.
Penyanyi yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Veteran (YKAT), Datuk DJ Dave, 76, berkata Ahmad Nawab merupakan insan yang mampu menghasilkan karya mengikut karakter seseorang penyanyi itu.
DJ Dave menyifatkan arwah sebagai seorang yang tegas ketika bekerja namun seorang yang periang dan peramah di luar waktu kerjanya.
“Semasa kita duduk di studio ataupun sebelum masuk ke studio, dia seorang yang peramah, dia berlawak jenaka, tetapi bila masa kerja, dia ubah sikapnya kerana dia nak seorang artis itu ikut rentak apa dia nak, kalau tak ikut kena marah.
“Saya pernah kena marah dulu, masa saya bermula (dalam industri) dulu sebagai seorang penyanyi, dan saya banyak pelajari daripada Allahyarham.
“Saya bersyukur dapat seorang rakan, seorang abang, seorang yang telah banyak berjasa untuk dunia seni suara dalam negara kita,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah di sini hari ini.
Beliau hadir bagi memberikan penghormatan terakhir buat rakan dan juga mentornya itu.
Katanya, pemergian arwah akan memberikan kesan bukan sahaja kepada industri seni, malah ramai pihak akan terkesan dengan pemergian maestro muzik itu.
Allahyarham adalah seorang penggubah lagu, pemain muzik serta penyanyi yang terkenal di Singapura dan Malaysia.
Ahmad Nawab mempunyai jasa besar terhadap industri kerana menaikkan nama-nama hebat dalam industri antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim dan Ramlah Ram.
Beliau sudah menggubah lebih daripada 2,000 lagu sejak pembabitannya dalam dunia seni dan diberi penganugerahan sebagai “Seniman Negara Ke-7”.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.