comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembunuhan Ismail Haniyeh: Malaysia gesa siasatan segera, menyeluruh

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Malaysia menggesa siasatan segera dan menyeluruh terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh serta seorang pengawal peribadinya di Tehran, Iran.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra menegaskan, mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan.

“Malaysia juga menggesa semua pihak untuk bersikap tenang sementara fakta mengenai pembunuhan ini sedang dikenal pasti,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media yang memetik kenyataan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dilapor berkata, Haniyeh dibunuh di kediamannya di ibu negara Iran itu selepas menghadiri Majlis Mengangkat Sumpah Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian, semalam.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi ia disyaki dilakukan tentera Israel, yang berikrar untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas yang lain berhubung serangan kumpulan itu ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu.

Mengulas lanjut, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan berkenaan sambil mengucapkan takziah dan menzahirkan simpati kepada ahli keluarga serta barisan kepimpinan dan rakyat Palestin.

“Malaysia tanpa ragu-ragu mengutuk semua tindakan keganasan termasuk pembunuhan yang disasarkan dan menggesa semua negara yang cintakan keamanan untuk turut sama mengecam tindakan tersebut.

“Insiden ini menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan dan memperkukuh keperluan semua pihak untuk terlibat dalam dialog konstruktif dan mencari penyelesaian damai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan menegaskan komitmennya untuk menyokong perjuangan mereka bagi keadilan dan penentuan nasib sendiri.

“Malaysia mengiktiraf peranan dan sumbangan Ismail Haniyeh dalam usaha membebaskan Palestin dan rakyatnya dari penjajahan haram Israel,” kata Wisma Putra.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang juga berada di Tehran sebagai wakil Malaysia ke majlis perasmian Presiden Republik Islam Iran berada dalam keadaan selamat termasuk semua ahli delegasi Malaysia.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini