GUA MUSANG: Sempena sambutan Aidiladha yang akan disambut tidak lama lagi, perjalanan pulang perantau dari Kelantan dijangka lebih lancar susulan pembukaan semula Jalan Gua Musang-Kuala Lipis mulai petang tadi.
Laluan itu ditutup sejak 4 April lalu bagi memberi laluan kepada penanaman cerucuk Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C.
Pembukaan laluan itu membabitkan satu lorong sahaja yang dibuka dari lampu isyarat Taman Wangi di Kuala Lipis hingga ke Petronas Persiaran Raya, Gua Musang.Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata laluan itu dibuka kepada kenderaan ringan bermula petang tadi selepas siap dibina pada Khamis lalu.
“Pengguna jalan raya di LTU Pakej 3B dan 3C Gua Musang begitu teruja apabila laluan ini dibuka secara rasminya hari ini.
“Laluan ini dibuka kepada kenderaan ringan sebentar tadi selepas laluan ini siap dibina pada 22 Jun lalu,” katanya.
Alexander berkata, pembukaan laluan itu akan memberi kemudahan kepada pengguna terutama kepada perantau menjelang Aidiladha nanti.
“Pembukaan laluan ini tentunya akan memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur dan tentunya penduduk tempatan.
“Saya juga berharap pembukaan laluan ini akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya yang akan pulang menyambut Hari Raya Aidil Adha yang bakal tiba dan juga selepas musim perayaan nanti,” katanya.