Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Projek Kuala Terengganu Bypass yang menelan Kos RM384.3 Juta siap sepenuhnya dan dibuka kepada pengguna hari ini.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek yang bermula pada 2016 itu, sebelum ini tertangguh disebabkan isu teknikal.
Antara cabaran yang dihadapi pemaju sepanjang pembinaan antaranya pandemik COVID-19, peningkatan kos projek serta kos pengambilan balik tanah, sehingga lewat disiapkan.
Pembukaan jalan pintas itu memberi manfaat kepada 70,000 penduduk terutama di Bandar Baru Bukit Besar, selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan membawa koridor baharu pembangunan di daerah Kuala Terengganu.
“Pembukaan jajaran jalan ini bakal memberi impak positif kepada rakyat, Laluan alternatif ini mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan sedia ada di bandar Kuala Terengganu terutama di waktu puncak, musim perayaan utama dan cuti sekolah”.
“Projek ini juga akan meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti pengguna Pantai Timur serta mampu menjana ekonomi di kawasan Kuala Terengganu khususnya kepada sektor pelancongan dan industri kecil dan sederhana”, katanya.
Untuk rekod, jajaran projek berkenaan membabitkan pembinaan laluan sepanjang 5.875 kilometer bermula dari persimpangan Tok Molor, Jalan Tok Adis T12 hingga ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan FT03 Kota Bharu-Kuala Terengganu.
Turut dibina, lima jejambat serta membabitkan skop menaik taraf dua persimpangan iaitu persimpangan Tok Molor dan persimpangan Tok Ku kepada persimpangan bertingkat.
Majlis perasmian pembukaan jalan itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Sri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT3) akan dipercepatkan merancakkan pembangunan negeri pantai timur.
Projek berkenaan sudah diluluskan pada 2019, merangkumi jarak 150 kilometer bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan.
Dalam perkembangan lain, satu lagi projek pembinaan jalan raya baharu iaitu pembinaan Jalan Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun ke Sempadan Pahang membabitkan kos RM402 juta dijangka siap pada Julai 2026.