Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Pemborong dan peniaga buah di sekitar Melaka mengeluh ekoran kekurangan bekalan limau mandarin yang diimport dari China bagi sambutan Tahun Baharu Cina.
Kekurangan bekalan dipercayai berpunca daripada penularan jangkitan COVID-19 yang kembali serius di republik berkenaan.
Beberapa peniaga buah yang ditemui mendakwa ramai pekerja ladang limau di negara berkenaan dijangkiti wabak sehingga mengakibatkan kerja-kerja memetik buah di kebanyakan ladang tergendala sekali gus merencatkan pengeluaran.
Lantaran kekurangan bekalan itu juga turut menyebabkan harga buah berkenaan meningkat berbanding tahun lalu menyebabkan pembeli berkira-kira untuk berbelanja lebih.
Menurut pemborong buah, Tan Teng Song, 24, tempahan bekalan limau dari China yang dilakukan sejak dua bulan lalu mengambil tempoh yang lama untuk diperoleh.
“Bekalan berkenaan perlu melalui proses saringan yang ketat daripada pihak berkuasa republik China dan Malaysia sebelum dibenar masuk ke pasaran tempatan.
“Bekalan tahun ini memang berkurangan kerana pihak berkuasa China mengenakan peraturan ketat untuk mengeksport limau ke luar.
“Harga limau juga meningkat sedikit disebabkan masalah yang dihadapi daripada aspek pengeluaran,” katanya kepada media di sini hari ini.
Peniaga buah , Seah Shei Wey, 32, berkata, dia sukar mengambil tempahan pelanggan yang mahukan bekalan limau mandarin dalam kuantiti tinggi ekoran kekurangan bekalan yang diterima daripada pembekal di China.
“Permintaan buah limau menjelang Tahun Baharu Cina ini agak tinggi tetapi dia tidak dapat memenuhinya ekoran kekurangan bekalan.
“Kami difahamkan banyak kapal yang membawa kontena buah limau mandarin tidak dapat beroperasi kerana perlu mematuhi arahan pihak berkuasa negara China.
“Jadi kami di sini tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan bekalan dalam kuantiti yang banyak,” jelasnya.
Nada sama turut disuarakan seorang lagi peniaga, Rofiqul Islam Imam Murshid, 34, yang berharap masalah pandemik COVID-19 di negara China dapat dikawal sepenuhnya bagi mengelakkan perniagaan limau mandarin terus terjejas.
Dia yang telah berniaga buah-buahan sejak tujuh tahun lalu berkata, limau mandarin dari China dianggap lebih berkualiti berbanding dari negara lain.
“Kita ada juga mengimport limau dari negara lain tetapi kualitinya tidak setanding dengan mutu dari negara China yang lebih manis dan besar dari segi rasa serta saiznya,” ujarnya.
Sementara itu, kemeriahan jualan buah limau mandarin di premis sekitar negeri berkenaan turut diambil kesempatan oleh masyarakat bukan Tionghua.
Seorang warga emas, Azizan Zakaria, 64, berkata, ini adalah masa terbaik untuk membeli limau mandarin walaupun harganya dikatakan agak mahal berbanding sebelum ini.
“Kalau pada hari lain, kita jarang dapat beli buah limau yang bermacam jenis berbanding ketika Tahun Baharu Cina.
“Ia juga sebagai tanda kita turut meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama rakan yang berbangsa Tionghua,” katanya.
Tinjauan di sekitar Bandaraya Melaka hari ini mendapati sebahagian gerai buah-buahan di sini mulai menjual buah limau mandarin sempena Tahun Baharu Cina yang bakal tiba tidak lama lagi.