JOHOR BAHRU: Seorang pembonceng motoiskal maut selepas motosikal dinaikinya bergesel dengan sebuah motosikal lain selepas pulang dari sebuah restoran dekat Jalan Pintasan, Persiaran Seri Alam di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan yang berlaku jam 4.30 pagi itu membabitkan tiga mangsa yang semuanya berusia 21 tahun dengan motosikal jenis RS-X dan Honda RS 150R.
“Honda RS-X dinaiki dua lelaki tempatan dan Honda RS 150R ditunggang seorang lelaki tempatan yang semuanya dari Restoran Al-Safa menghala pulang ke rumah di Taman Nusa Damai di sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian, Honda RS-X telah hilang kawalan dan bergesel dengan Honda RS 150R, lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelah kanan.
“Akibat kejadian itu, kedua-dua motosikal dan semua mangsa jatuh di atas jalan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, pembonceng Honda RS-X yang jatuh di tengah jalan, parah di bahagian kepala dan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mangsa yang lain cedera ringan dan semua dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, untuk tindakan lanjut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau berbahaya hingga menyebabkan kematian,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa berjaga-jaga dan serius dalam pemanduan serta patuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta kod lalu lintas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.