JELI: Seorang pembonceng maut, manakala penunggang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 4.3 Jalan Jeli-Dabong di sini, malam semalam.
Kemalangan jam 10.50 malam, mangsa, Muhammad Amin Mohd Khairi, 15, cedera parah maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob berkata, mangsa membonceng motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang Muhammad Syahban Syukri Derasid, 26.
Katanya, kemalangan berlaku ketika sebuah Proton Wira memberi isyarat membelok ke simpang di sebelah kanan jalan dan pada masa yang sama sebuah treler berada di belakang kereta itu.
“Treler memperlahankan kelajuan, namun secara tiba-tiba motosikal dinaiki mangsa yang datang dari arah belakang cuba mengelak daripada melanggar kereta yang sedang memasuki simpang.
“Motosikal mahu masuk semula ke laluannya, namun terlanggar sisi kanan treler,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pembonceng maut di tempat kejadian, manakala penunggang cedera dan mendapatkan rawatan di Hospital Jeli.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan bertimbang rasa.
“Pengguna dinasihatkan sentiasa berhati-hati di jalan raya. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta menyalurkannya bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di talian 09-9440222 atau Pegawai Penyiasat di talian 017-5578763,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.