Tumpuan :
Nasional

Pembinaan tembok sempadan Kelantan-Thailand perlu diputuskan di peringkat MKN

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media Majlis Penutupan Perasmian Program Satu Pemimpin Satu Kampung Santuni MADANI Komisioner Jeneral Penjara Malysia di Sekoalh Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Bunga di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

PASIR MAS: Pembinaan tembok sempadan di Kelantan-Thailand perlu dibincang dan dimuktamadkan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, sebagaimana tembok keselamatan yang ada di sebelah utara kini juga diputuskan di peringkat majlis itu.

“Sekarang ini ada cadangan daripada polis negeri dan kerajaan negeri berhubung pembinaan tembok sempadan. Saya percaya MKN akan memantau perkara ini dan sekiranya sudah tiba masa untuk dibincangkan, MKN akan panggil untuk perbincangan.

“Bagaimanapun, sebelum menunggu pembinaan tembok sempadan yang membabitkan kos besar, kita mengambil beberapa inisiatif lain termasuk meletakkan gentian fiber di sepanjang 40 kilometer (km) di sempadan di Perlis.

“Pada masa sama dalam tempoh beberapa minggu lagi, kita akan menggunakan dron untuk pemantauan sempadan. Apa yang pasti, kita mengambil beberapa pendekatan lain dalam menangani masalah jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Santuni Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Bunga di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Kelantan akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan cadangan pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dilaporkan berkata, antara lain pihaknya juga akan berusaha mengutus surat rasmi kepada pemimpin itu dan kementerian yang berkaitan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini