PETALING JAYA: Pembinaan plaza tol di jalan menaiki Genting Highlands menerusi Gohtong Jaya bukan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
LLM memaklumkan pembinaan tol berkenaan seperti yang tular baru-baru ini berlaku di jalan persendirian dan tidak mempunyai kaitan dengan Lebuhraya bertol Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak).
“ … projek pembinaan ini bukan di bawah bidang kuasa KKR/LLM kerana ia bukan jalan yang diwartakan sebagai jalan persekutuan,” menurut LLM dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman memaklumkan sebarang usaha projek pembangunan atau kemajuan di tanah persendirian harus mendapat Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan.
Dalam kenyataan pada 21 Oktober lalu, beliau menyatakan Pihak Majlis Perbandaran Bentong dan Kerajaan Negeri Pahang masih tidak menerima apa-apa permohonan berkenaan pembinaan plaza tol itu.
Arahan henti kerja telah dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Bentong.