KUALA LUMPUR: Fasa akhir pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) pertama dijadualkan siap akhir tahun ini dan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan dalam kontrak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, status kemajuan semasa bagi perolehan LCS secara keseluruhan merangkumi elemen reka bentuk, pembinaan, peralatan serta ujian.
Katanya, status kemajuan yang berakhir pada 25 Ogos lalu adalah sebanyak 69.58 peratus berbanding perancangan iaitu 69.50 peratus dengan perbezaan sebanyak 0.08 peratus (melebihi jadual daripada yang dirancangkan).
“Berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam kontrak yang ditandatangani, fasa akhir pembinaan kapal LCS pertama akan disiapkan pada penghujung tahun 2024 sebelum ianya menjalani ujian seperti Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk tempoh 2 tahun.
“Bagi LCS kedua pula, ianya akan turun ke permukaan air sebelum ianya menjalani HAT dan SAT pada pertengahan tahun 2025,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang meminta menyatakan perancangan Kerajaan dalam menyegerakan pembinaan kapal LCS bagi menghadapi ancaman pihak luar terhadap kawasan zon ekonomi dan kepulauan milik Malaysia di perairan Laut China Selatan yang semakin meningkat.
Katanya, Kementerian Pertahanan sentiasa komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi untuk mempertahankan kedaulatan negara.
“Kementerian juga akan memastikan kesiagaan aset berada pada tahap yang optimum dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan di perairan negara terutamanya di Laut China Selatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.