KOTA KINABALU: Pembinaan loji janakuasa menggunakan arang batu sebagai bahan api di Sabah bagi menjana tenaga elektrik masih lagi belum dimuktamadkan kerajaan negeri.
Menurut Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe, isu berkenaan pernah dibincangkan, namun masih tidak akan dilaksanakan di negeri ini.
Bagaimanapun, katanya penggunaan kaedah lain perlu dikaji bagi memastikan penjanaan tenaga elektrik di Sabah pada masa depan tidak terjejas.
“Memang kita ada banyak kaedah untuk menjana tenaga, ramai memberi cadangan antaranya arang batu.
Selain itu ada lagi kaedah lain yang belum disebut seperti tenaga nuklear.
“Jadi, memang banyak cara tetapi setakat ini setelah berbincang dengan Suruhanjaya Tenaga Sabah (eCos) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memang tiada cadangan membina janakuasa arang batu.
“Tapi, sekarang kita sangat bergantung kepada gas asli, jadi kita perlu sama-sama fikir apa janakuasa yang paling sesuai untuk Sabah, kita juga perlu bincang mengenai tenaga boleh diperbaharui (RE),” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Darell Leiking (WARISAN – Moyog) sama ada arang batu akan digunakan untuk menjana tenaga elektrik di Sabah.
Ketika ini, loji janakuasa di Sabah kebanyakannya menggunakan gas asli, manakala loji menggunakan arang batu pernah dicadang untuk dibina di Lahad Datu lebih 10 tahun lalu, namun dibatalkan selepas menerima banyak bantahan.
Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) berkaitan bekalan elektrik yang besar kepada sektor industri di Sabah, Jin Zhe berkata, setakat ini keperluan masih mencukupi untuk menampung industri sedia ada.
Katanya, ia termasuk kilang kerajang tembaga berskala besar yang sedang dibangunkan syarikat dari Korea Selatan, SK Nexilis di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
“Jaminan itu boleh kita beri kepada pelabur tapi bagi pelabur yang baharu kita perlukan loji janakuasa baharu, itu hakikatnya. Tapi untuk SK Nexilis, sebanyak 70 megawatt (MW) yang diperlukan untuk operasinya mencukupi berdasarkan perancangan SESB ketika ini,” katanya.
Beliau berkata, perancangan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd (SK Nexilis) dipersetujui pada 2021 sebelum Perjanjian Bekalan Tenaga Elektrik ditandatangani dengan SESB pada 17 Julai lalu setelah diluluskan Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Perjanjian itu mengambil kira keperluan bekalan tenaga elektrik SK Nexilis secara berperingkat bermula dengan 5MW pada 2023 sebelum mencapai kehendak maksimum 70MW pada pertengahan 2024,” katanya.