KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyifatkan pembikinan semula klip video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 sebagai satu tindakan yang tepat dan wajar.
Ia dilakukan dengan mengambil kira latar belakang semangat Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Menterinya, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya menyambut baik komitmen yang diberikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
“Seperti semua sedia maklum, institusi masjid dan surau menjadi imej dan identiti tonggak kepada negara Malaysia.
“Usaha-usaha untuk memperkukuh serta memartabat syiar Islam di Malaysia adalah keutamaan Kerajaan MADANI yang sedang dilaksanakan dengan penuh giat oleh JPM (Hal Ehwal Agama) melalui agenda Membangun Malaysia MADANI dan Pelan Transformasi Al-Falah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), hari ini.
Tambahnya, usaha pengukuhan Islam telah digerakkan secara bersepadu bersama semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
Justeru, semua pihak diseru untuk bersama-sama mengambil inisiatif dalam memperkukuhkan perpaduan demi menjayakan agenda memajukan negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.