Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Selepas proses pengecaman keluarga terhadap tujuh mangsa terbunuh dalam kemalangan van persiaran di Jalan Genting, di Bentong semalam salah seorang mangsa dilaporkan terkorban sebenarnya cedera parah dan sedang dirawat Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kekeliruan itu berlaku kerana kad pengenalan salah seorang mangsa cedera parah ditemui bersama mayat salah seorang warga emas yang terbunuh dalam kemalangan itu.
“Pada awalnya polis melaporkan tujuh mangsa terbunuh tetapi selepas keluarga mangsa tiba membuat pengecaman di hospital dapati salah seorang simati, Wong Ah Moi @ Wong Seh Moi, 83, memegang kad pengenalan Goh Siew Kim, 61”.
“Siew Kim salah seorang daripada tujuh mangsa tercedera sedang rawatan di HKL dan Hospital Sultan Ahmad Shah, (HOSAS) Termerloh,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari semalam, enam warga emas dan pemandu van persiaran terbunuh setelah kenderaan mereka naiki terbabas dan melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan.
Tujuh lagi mangsa tercedera termasuk empat dilaporkan kritikal.
Kemalangan berlaku di kilometer 4.8, Jalan Turun Genting dan ketika kejadian van terbabit dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Pulau Pinang
Ketika ini proses bedah siasat sedang dilakukan di HOSAS dan semua mayat dijangka dituntut waris masing-masing selepas proses itu selesai petang ini.