KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam siasatan terhadap dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini tiada siasatan dibuka oleh pihaknya berhubung dakwaan itu.
“Jika DBKL ingin mendapatkan bantuan, saya tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Terdahulu media melaporkan DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, yang mengesahkan siasatan itu berkata, beliau sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial hari ini.
Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat itu dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan.
Maimunah berkata, DBKL masih mengumpul maklumat dan bukti mengenai perkara itu sebelum memutuskan langkah seterusnya, termasuk membuat laporan kepada SPRM.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.