Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan diarah melakukan siasatan segera berhubung dakwaan ketirisan projek jutaan ringgit dikaitkan dengan seorang ahli lembaga penasihatnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang isu ketirisan, rasuah dan tatakelola yang lemah.
Dalam temubual eksklusif dengan Buletin TV3 di Putrajaya, siang tadi, Dr Zaliha berkata, pihaknya bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan itu.
“Kita terbuka jika ada agensi penguatkuasaan yang bersedia melakukan siasatan dan kita akan berikan kerjasama penuh tanpa melindung apa-apa dan sesiapa,” katanya
Ditanya sama ada laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat, katanya siasatan dalaman sedang dilakukan dan sekiranya wujud elemen ketirisan seperti didakwa, tindakan selajutnya akan dibuat.
Setakat ini individu yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku itu tidak digantung tugas.
“Kita kena bersikap adil maksudnya apa saja aduan kita kena adakan siasatan dahulu dan selepas siasatan baru kita lihat apa tindakan yang seharusnya kita laksanakan.” ujarnya.
Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif mengesahkan siasatan dalaman dilakukan berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini tiada siasatan dibuka pihaknya namun sekiranya DBKL ingin mendapatkan bantuan, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah berbuat demikian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.