![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BULETIN-TV3-N-2025-02-11T222005.643.jpg)
KUALA LUMPUR: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menghadiahkan kereta elektrik (EV) buatan dan kebanggaan negaranya kepada Malaysia hari ini.
Menerusi catatan pada akaun Facebook miliknya serta platform sosial lain malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi pemberian kenderaan model Togg.
Beliau menyifatkan hadiah berkenaan mencerminkan komitmen tegas kedua-dua negara untuk tangkas meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang, sama ada di lapangan teknologi, inovasi dan automotif.
Presiden Recep Tayyip Erdogan telah menghadiahkan kereta elektrik buatan dan kebanggaan Turkiye yakni TOGG kepada negara.
Pemberian ini mencerminkan komitmen tegas kedua-dua negara untuk tangkas meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang, samada di lapangan teknologi, inovasi dan automotif.
Malaysia dan Republik Tukiye akan terus memperkukuh dan memanfaatkan persahabatan erat yang terjelma serta memungkinkan lembaran baharu dalam hubungan strategik yang pastinya memberi manfaat kepada kedua-dua negara, katanya,
Anwar berkata pemberian itu adalah sempena lawatan rasmi Erdogan selama dua hari ke Malaysia yang berakhir hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri hari ini menerima sebuah kenderaan elektrik Togg sebagai hadiah daripada Presiden Turkiye.
Erdogan menghadiahkan Togg T10X berwarna putih itu kepada Anwar sebagai tanda persahabatan.
Anwar kemudiannya memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya itu ke Kompleks Seri Perdana bersama Erdogan bagi menyaksikan pertukaran perjanjian, sidang media bersama serta jamuan makan tengah hari.
Ditubuhkan pada 2018, Togg adalah pengeluar EV nasional utama dan pertama Turkiye.
Sebelum itu, Erdogan diberikan sambutan negara di Kompleks Perdana Putra, diikuti pertemuan empat mata dengan Anwar selama hampir satu jam, serta mesyuarat dua hala.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.