Tumpuan :
Nasional

Pemberian Baucar Buku MADANI semarakkan semula budaya membaca yang lesu

Presiden NUTP, Aminuddin Awang.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Pemberian Baucar Buku MADANI kepada guru dapat menyemarakkan semula budaya membaca yang kian lesu dalam masyarakat ketika ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, perkara itu perlu dimulakan dengan golongan guru.

“Kita yakin bahawa apabila budaya membaca ini telah ada dalam kalangan guru, ia mampu untuk diperluaskan ataupun disebarluaskan kepada seluruh masyarakat yang ada di negara kita.

“Pada masa yang sama, kita merasakan bahawa pemberian baucar buku ini adalah sebagai satu pengiktirafan kerja buat guru.

“Ia berkait secara langsung bahawa kerja sebagai guru ini memerlukan proses peningkatan ilmu, peningkatan kemahiran yang berterusan sehinggalah budaya ini diharapkan nanti mampu dipupuk pula dalam kalangan murid-murid yang ada di negara kita,” katanya kepada Buletin TV3.

Katanya, NUTP menyokong dan menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan untuk memperluaskan pemberian Baucar Buku MADANI kepada golongan guru.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan membentangkan cadangan memperluaskan pemberian Baucar Buku MADANI kepada guru pada mesyuarat Kabinet akan datang.

Pihaknya bercadang berbuat demikian susulan kejayaan penebusan baucar buku oleh murid yang mencapai 100 peratus termasuk di kawasan luar bandar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini