PETALING JAYA: Pemberi maklumat yang mendakwa mempunyai rakaman audio Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, yang dikatakan membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit, sehingga kini masih enggan menyerahkan bahan bukti berkenaan untuk tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menegaskan pihaknya tidak dapat memberi jaminan mengenai sebarang perlindungan atau imuniti seperti yang dituntut pemberi maklumat berkenaan sehingga bahan bukti itu diperoleh.
“Saya tidak dapat memberi sebarang jaminan sehingga dia memberi kami semua (bahan bukti).
“Apa yang berlaku sekarang, dia berikan kepada kamu (media) tapi bukan kepada SPRM. Jadi siapa kami? Kami hanyalah “orang kecil”,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang individu bertemu dengan pegawai SPRM pada 30 Oktober lalu berkaitan video tular dakwaan skandal rasuah.
Peguam kepada pemberi maklumat itu dilaporkan memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat yang memperdengarkan beberapa orang sedang berbincang mengenai sejumlah wang ketika pertemuan itu.
Sementara itu, Azam berkata, sehingga hari ini, SPRM sudah merekod 15 keterangan berhubung video tular dakwaan skandal rasuah itu, termasuk daripada lapan ADUN dan pemberi maklumat berkenaan.
Sementara itu, berhubung siasatan kes membabitkan seorang pengarah syarikat dan penjawat awam yang dipercayai bersubahat bagi membolehkan beberapa syarikat mendapatkan projek pembinaan yang dikeluarkan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di sebuah daerah di Sarawak, Azam berkata, seramai 21 individu dipanggil memberi keterangan setakat ini dan 25 akaun bank dibekukan bagi tujuan siasatan.
“Projek yang terbabit dikatakan bernilai RM250 juta tapi saya tidak boleh sebut mengenai jumlah wang rasuah yang terbabit.
“Wang tunai yang disita adalah sebanyak RM40,000 daripada pegawai kerajaan berkenaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.