Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pembentukan kerajaan baharu rancakkan sektor pelancongan negara

MELAKA: Pembentukan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merancakkan lagi sektor pelancongan negara khususnya kedatangan pelancong asing.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata, kehadiran pelancong ke Malaysia juga bergantung kepada keadaan politik semasa dan sebagai agensi kerajaan pihaknya akan meneruskan perancangan sedia ada yang sudah direncanakan.

“Kehadiran dan keyakinan pelancong untuk masuk dan melancong ke negara ini bergantung kepada situasi politik semasa. Jadinya kita akan meneruskan semua perancangan yang sudah dibuat.

“Sebagai contoh bagi pelancongan domestik, kita galakkan lagi rakyat Malaysia untuk melancong dalam negeri.

“Promosi secara fizikal di pameran utama antarabangsa juga kita memang sudah mulakan bagi merancakkan lagi industri pelancongan negara,” katanya pada sidang media selepas Program Jom Cuti-Cuti Malaysia (JJCM) Roadshow 2022, di Taman Lagenda, di sini, hari ini.

Iskandar Mirza beramah mesra dengan pempamer yang terbabit dalam program JCCM Roadshow 2022. – FOTO: NSTP

Beliau berkata, keyakinan pelancong untuk datang melancong ke Malaysia juga dapat dilihat dengan pertambahan penerbangan masuk ke negara.

“Menerusi penerbangan antarabangsa yang sampai ke Malaysia misalnya dalam tempoh sebulan, penerbangan membawa pelancong dari Eropah dan Timur Tengah mula masuk semula.

“Ini akan meningkatkan lagi kembali permintaan dalam kalangan pelancong asing untuk ke negara kita selain dengan tiada halangan yang ketat juga akan menyumbang kepada kedatangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Mirza berkata, pihaknya menyasarkan akan mengutip hasil jualan kira-kira RM10 juta dalam lapan siri jerayawa pada tahun ini.

“Hasil jualan kesemua pakej-pakej pelancongan yang berjaya diraih oleh penggiat indsutri yang terlibat kita jangkakan dapat capai RM10 juta,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini