Tumpuan :
Nasional

Pembentangan laporan RCI Batu Puteh antara tumpuan ‘panas’ Dewan Rakyat hari ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan menjadi antara tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, laporan itu dijadual dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jumaat lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan sudah menerima dan meluluskan usul pembentangan laporan terbabit di Dewan Rakyat yang dijangka dibentangkan sebelum berakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, esok.

Turut menjadi tumpuan, Cadangan penggubalan Akta Keharmonian Agama atau Religious Harmony Act antara soalan yang dijangka menjadi tumpuan dalam sesi soal jawab lisan.

SN Rayer (PH-Jelutong) meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan sama ada kerajaan bercadang menggubal undang-undang khusus bagi memelihara keharmonian agama di negara ini. Ia mengambil kira tercetusnya pelbagai polemik berkaitan agama sejak kebelakangan ini.

Selain itu, isu berkaitan kesiapsiagaan ekosistem pembelajaran kecerdasan buatan (AI) di institusi pendidikan di negara ini turut dikemukakan pada sesi sama.

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengajukan soalan itu kepada Menteri Digital dan turut ingin tahu sejauh mana pencapaian insiatif ‘AI untuk Rakyat’

Untuk rekod, program terbabit dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Januari lalu.

Ia menggariskan dedikasi kerajaan yang tidak berbelah bahagi untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan penting mengenai AI.

Isu pendidikan turut menjadi perhatian ahli Dewan Rakyat, antaranya S Kesavan (PH-Sungai Siput) meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan pendirian mengenai isu yuran pendaftaran kemasukan pelajar di universiti awam yang membebankan golongan ibu bapa dalam kategori B40.

Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) pula ingin tahu apakah Menteri Pendidikan berhasrat menaikkan elaun pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) yang terpaksa menampung kos tempat tinggal di luar kampus sehingga perlu bekerja sambilan. Ini susulan kemudahan penginapan dalam kampus yang terhad.

Beberapa soalan turut diajukan kepada Menteri Kewangan. Antaranya, Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang ingin tahu langkah pengapungan harga minyak diesel yang dilakukan selaras atau mengikut turun naik harga minyak dunia yang ketika ini.

Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) turut meminta penjelasan Menteri Kewangan mengenai kesan kenaikan kadar cukai perkhidmatan dan peluasan skop perkhidmatan bercukai bermula pada 1 Mac 2024 serta kenaikan harga diesel pada 10 Jun 2024 terhadap kos sara hidup rakyat.

Selepas sesi Dewan Rakyat diteruskan dengan bacaan kali kedua beberapa Rang Undang-Undang (RUU) antaranya RUU Keselamatan dalam Talian

Dewan Rakyat mula bersidang sejak 14 Oktober lalu dan kini berada di minggu yang terakhir iaitu yang kesembilan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini