Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pembenihan awan di Pulau Pinang ditangguh ke awal Mei

 

 

Oleh Naim Fitri Abu Bakar

GEORGETOWN: Gelombang pertama operasi pembenihan awan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pulau Pinang dijadualkan semula pada awal Mei depan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K. Pathmanathan berkata, keputusan itu dimaklumkan melalui Badan Kawal Selia Air Pulau Pinang (BKSA) berdasarkan cadangan daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Katanya, langkah itu bertujuan untuk memaksimumkan potensi hujan lebat dengan menjalankan operasi pembenihan awan apabila keadaan cuaca optimum.

“Operasi itu hanya dibuat apabila keadaan cuaca optimum iaitu apabila awan hujan besar diramalkan hadir pada ketinggian yang betul.

“Pesawat TUDM yang menjalankan operasi itu akan berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang di Selangor dan jurutera PBAPP akan ditugaskan berada di dalam pesawat bagi menyaksikan setiap misi di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, setakat hari ini (29 April) kapasiti efektif di Empangan Air Itam adalah 43.6 peratus berbanding awal Januari lalu iaitu 82.5 peratus, manakala di Empangan Teluk Bahang mencatatkan 49.1 peratus berbanding 64.0 peratus dalam tempoh sama.

“Kapasiti efektif kedua-dua empangan ini berkurangan kerana kekurangan taburan hujan di kawasan berkenaan selain permintaan air yang tinggi di Pulau Pinang sejak awal Januari lalu dan itu adalah punca kepada fenomena ini.

“Empangan berkenaan perlu diisi semula bagi mengelak krisis bekalan air yang berpotensi akan berlaku di sini,” katanya.

PBAPP menyokong sepenuhnya pendekatan yang akan dilakukan dan menyambut baik agensi yang terlibat dalam mengatur dan mempercepatkan operasi pembenihan awan bagi negeri Pulau Pinang.

“PBAPP akan memantau hasil operasi itu dengan merekodkan hujan di kawasan tadahan air yang disasarkan. Jika ia berhasil, kerajaan negeri dan PBAPP akan memohon lebih banyak operasi pembenihan awan tahun ini,” katanya.

Loading...
Terkini