ARAU: Pembelian berulang untuk pengisian RON95 di semua stesen minyak di Kelantan tidak lagi dibenarkan bagi mengelak petrol bersubsidi itu diseleweng ke negara jiran.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shamsul Nizam Khalil berkata, arahan itu dikeluarkan selepas ada pihak dikesan cuba menggunakan pembelian berulang untuk mengumpulkan stok RON95 sebelum diseludup ke Thailand.
“Kita sudah mengeluarkan arahan itu kepada semua stesen minyak di Kelantan, di mana taktik pembelian berulang RON95 ini paling tinggi dikesan di negeri itu,” katanya ketika melakukan pemeriksaan Ops Kesan 2.0 di sekitar Arau, hari ini.
Buat masa ini, Shamsul Nizam berkata, arahan hanya membabitkan Kelantan, namun akan diperluaskan ke negeri sempadan lain seperti Perlis, Kedah dan Perak.
“Sebenarnya arahan sudah dilaksanakan di Kelantan sebelum 10 Jun lagi, sebelum langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel, dengan anggota KPDN ditempatkan di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) dan stesen minyak di negeri itu.
“(Walaupun arahan belum dikeluarkan) langkah sama sudah dijalankan di negeri sempadan lain di mana anggota kita diletakkan di kawasan Kompleks ICQs serta stesen minyak kawasan sempadan secara statik untuk tujuan pemantauan,” katanya.
Mengulas taktik digunakan, beliau berkata anggota sindiket biasanya menggunakan kenderaan dengan nombor plat tempatan untuk melakukan pengisian penuh RON95.
“Sebagai contoh (dia isi) 60 liter yang mana kereta itu sepatutnya boleh melakukan sekali perjalanan antara 500 hingga 600 kilometer (km).
“Namun tidak pun sampai ke tahap perjalanan itu (500 hingga 600 km), dia sudah pun mengisi sekali lagi untuk pembelian penuh di mana kita syak minyak diisi itu akan cuba diselewengkan ke negara jiran,” katanya.
Beliau menegaskan, kegiatan penyelewengan ini sebenarnya dapat dikesan dengan kerjasama pengusaha stesen minyak bagi memastikan tiada kecurangan berlaku di premis milik mereka.
“Jika (penyeludup) ditangkap, pengusaha stesen minyak boleh diambil tindakan kerana membiarkan petrol RON95 dibeli secara berulang.
“Lesen mereka boleh digantung dan KPDN sudah memberi amaran kepada semua stesen minyak di mana lesen mereka boleh dibatalkan jika terbukti bersengkongkol dengan penyeludup,” katanya.
Ditanya bagaimana untuk mengesan, beliau berkata pegawai KPDN boleh dikesan kerana sememangnya ditempatkan di stesen minyak, malah ada kamera litar tertutup (CCTV) untuk tujuan pemeriksaan semula.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.