Tumpuan :
Nasional

Pembelian aset terpakai negara luar amalan biasa, tidak memudaratkan – Khaled

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.- Foto fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menegaskan pembelian aset terpakai dari negara lain adalah amalan biasa dalam sektor pertahanan, dan bukannya sesuatu yang janggal atau memudaratkan.

Ia susulan tindakan kerajaan yang mahu membuat perolehan pesawat pejuang F-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF).

Menteri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata negara lain termasuk Indonesia dan Thailand juga pernah melakukan tindakan sama dengan membeli aset terpakai membabitkan pesawat dan kenderaan tempur dari negara luar.

Katanya, secara asasnya perolehan itu adalah bagi tujuan ‘gap filler’ (langkah sementara sebelum pembelian pesawat baharu) bagi memenuhi keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Secara umumnya F-18 Hornet berada dalam keadaan sangat baik iaitu berada pada 90 peratus tahap kebolehkhidmatan.

“Malah pengoperasian ialah 90 peratus bersamaan Hornet TUDM, bermakna boleh operasikannya tanpa latihan tambahan dengan konfigurasi minimum dan kita juga boleh menggunakan pesawat ini sehingga tahun 2035,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Khaled mengadakan pertemuan susulan dengan Duta Kuwait ke Malaysia TYT Rashed M R Al-Saleh di pejabat beliau di Kementerian Pertahanan sebelum ini.

Pertemuan bersama Duta Kuwait itu dibuat bagi perbincangan susulan berkenaan hasrat Malaysia memperoleh pesawat tempur milik KAF.

Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata, melalui pendekatan gap filler ini, Malaysia tidak perlu menunggu masa lama untuk mendapatkan aset berbanding perolehan baharu yang mungkin mengambil masa sehingga 10 tahun.

Beliau berkata, perolehan pesawat pejuang F-18 Hornet ini lebih kos efektif kerana pakej itu ditawarkan sekali dengan alat ganti yang bersesuaian.

“Kita akan menggunakan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan kelulusan kerajaan di sana dalam perolehan aset ini.

“Ini kerana dalam seoal perolehan ini, kita perlu mendapatkan persetujuan daripada negara pengeluarnya iaitu AS,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini