comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembeli rumah PR1MA Residensi Woodford Estate dapat ganti rugi RM3.4 juta

Akmal Nasrullah (tengah) meninjau keadaan dalam rumah projek PR1MA Residensi Woodford Estate Fasa 1 di Beaufort. – Foto: ihsan KPKT.

BEAUFORT: Seramai 204 pembeli rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Residensi Woodford Estate Fasa 1, di sini menerima gantirugi tertentu dan ditetapkan (LAD) bernilai RM3.4 juta berikutan kelewatan penyiapan projek itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pembeli rumah terbabit juga dilindungi di bawah tempoh liabiliti kecacatan (DLP) selama dua tahun seperti termaktub di dalam perjanjian jual beli (SPA).

Katanya, Residensi Woodford Estate adalah antara projek PR1MA yang dikategorikan sebagai ‘sakit’ berikutan kegagalan pemaju menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau berkata fasa satu projek itu yang membabitkan pembinaan 300 unit rumah teres akhirnya dapat disiapkan pada awal tahun ini dan menerima sijil menduduki (OC) pada 20 Februari lalu.

PR1MA kemudian mengeluarkan notis milikan kosong (VP) kepada semua pembeli pada Mei lalu, disusuli proses penyerahan kunci.

Sehingga kini seramai 219 pembeli sudah menerima kunci mereka manakala sebanyak 30 unit kediaman sudah dihuni setakat 3 Ogos lalu.

“Penyelesaian projek ini adalah hasil kerjasama PR1MA dan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkepentingan lain,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau projek itu, di sini, semalam.

Projek Residensi Woodford Estate Fasa 1 dilaksanakan kontraktor lantikan PR1MA, Gaya Belian Sdn Bhd sejak kira-kira lima tahun lalu membabitkan pembinaan 300 unit rumah teres dengan keluasan antara 1,084 hingga 1,134 kaki persegi serta dilengkapi dewan serbaguna, taska, tadika dan surau.

Akmal berkata, bagi projek fasa dua, PR1MA akan menentukan semula pelaksanaannya dengan mengambil kira faktor keupayaan kontraktor baharu yang akan dilantik, kaedah pelantikan kontraktor secara tender terbuka dan mengutamakan kebajikan pembeli.

“Oleh itu, langkah-langkah yang akan diambil bagi memberi laluan terhadap penetapan hala tuju baharu adalah dengan memuktamadkan perjanjian penamatan bersama dengan kontraktor asal, memajukan permohonan pembatalan lesen pemajuan projek dan menamatkan perjanjian jual beli (SPA) dengan 81 orang pembeli sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, usaha menyiapkan projek perumahan di bawah PR1MA diletakkan sebagai fokus utama agensi di bawah KPKT itu bagi memastikan pembeli dan rakyat keseluruhannya dapat memiliki rumah yang selesa.

Loading...
Terkini