Oleh Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Isu kualiti makanan yang dijual di Bazar Ramadan terus kedengaran ekoran terdapat peniaga ‘bidan terjun’ yang mencuba nasib selain mengambil kesempatan bagi mendapatkan pulangan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Perkara itu menimbulkan kegusaran peniaga tetap kerana segelintir peniaga ‘bidan terjun’ tidak menjaga kualiti makanan yang dijual sehingga mencalarkan nama baik peniaga Bazar Ramadan yang lain.
Masuk hari ke enam berpuasa, kami meninjau beberapa tapak bazar di sekitar Lembah Klang dan mendapati orang ramai terus meluahkan rasa marah dan dukacita dengan sikap peniaga yang menjual makanan basi dan harga melampau.
Bagi peniaga, Mohamad Sazali Mohd Ali, masalah peniaga bidan terjun terjadi sejak sekian lama.
“Masalah ini dah berlaku sejak dulu lagi, setiap kali Ramadan mesti ada orang baru yang memohon tapak.. tak salah nak berniaga tapi kena la ada kemahiran memasak dan makanan yang dijual kena la berkualiti.
“Ikut pengalaman, saya biasanya akan menjual makanan mengikut kemampuan jualan saya, kalau makanan tak habis sudah jadi kebiasaan saya akan bahagikan kepada orang ramai bukannya jual balik pada keesokan harinya,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Saufi Salleh berkata peniaga perlu jujur kerana disebabkan segelintir yang buat masalah semua peniaga terkena tempias.
“Kita pun terkesan jugak la kan, pasal orang lain yang buat, kadang kita yang peniaga ni kena tempias jugak.
“Jadi peniaga perlu berhati-hati, sekarangkan zaman viral, silap langkah sikit pasti akan jadi isu,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung di Bazar Ramadan Jalan Kucing di ibu negara, Jasmi Johari berkata, pengguna perlu mengambil tindakan lebih bijak, bukan sekadar menularkan video rasa tidak puas hati mereka sesuka hati kerana ia boleh memberi kesan kepada peniaga yang lain.
“Bukan semua peniaga macam tu kita tak boleh pukul rata semua.. mungkin adalah separuh tapi kebanyakannya bagus.. mungkin isu ni terlepas pandang,” katanya.