Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA NERUS: Amaran keras diberikan kepada pembekal dan pemborong supaya tidak menyembunyi atau menyimpan bekalan gula hingga menyebabkan bekalan gula berkurangan di pasaran.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam berkata, tindakan itu akan mengundang pembelian panik.
“Rakyat tidak perlu panik kerana kita pernah hadapi perkara ini sebelum ini dan kita sudah cukup matang untuk tanggani isu tersebut.
“Jadi tidak perlu panik kerana bekalan ada, dalam ops manis ini juga kita lihat jika ada elemen penyorotan maklumlah bila orang kata gula jadi ‘hot items’ takut ada yang buat penyorotan dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang menyorot bekalan menyebabkan pembelian panik di kalangan rakyat.”
Menurutnya, terdapat 11 kes menyembunyikan bekalan gula di Kelantan dan tindakan pembekal atau pemborong menyembunyikan bekalan itu boleh disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Datuk Azman Adam berkata demikian selepas membuat pemantauan Ops Manis di Kawasan Perindustrian di Gong Badak, Kuala Nerus.
Hasil tinjauan dan pemeriksaan yang dibuat oleh KPDN Negeri Terengganu mendapati bekalan gula di negeri itu setakat ini mencukupi untuk diedarkan kepada peruncit dan juga keperluan bekalan industri.
KPDN turut menasihat peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan gula.
Selain Ops Manis, KPDN akan melancarkan Ops Samar dengan menempatkan anggota serta peniaga di premis perniagaan bagi memantau aktiviti memyembunyi bekalan.
Sejak kelmarin, peniaga di Terengganu mendakwa bekalan gula semakin berkurangan di pasaran sejak Sabtu lalu.
Kekurangan bekalan gula itu dipercayai bermula selepas mendapat permintaan tinggi daripada pengguna menjelang Aidilfitri lalu.
Menurutnya, gangguan bekalan gula itu berlaku selepas pihak pembekal dan pemborong utama memberi alasan cuti panjang sempena musim perayaan.