Tumpuan :
Nasional

Pembekal kelengkapan ketenteraan perlu ditambah

 

Foto hiasan / NSTP 

Oleh: Faiz Rais

PETALING JAYA: Negara perlu meningkatkan lagi pembekal atau pengeluar kelengkapan tentera supaya tidak perlu membayar dengan harga yang tinggi untuk mendapatkannya.

Industri pertahanan adalah tidak sama seperti industri yang lain kerana tidak banyak pembekal mahupun pengeluar peralatan dan kelengkapan ketenteraan terbabit.

Menurut Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, kebanyakan syarikat tempatan menjadi orang tengah untuk membekalkan perkhidmatan kepada Kementerian Pertahanan.

Jadi, isu seperti kenaikan harga akan berlaku untuk mengambil keuntungan sebagai komisyen.

“Selain itu, hanya sedikit sahaja syarikat pembekal keperluan ini. Oleh itu, syarikat akan memasuki tender dengan pelbagai nama walhal ia adalah syarikat yang sama.

“Permasalahan ini akan terus berlaku walaupun sistem tender secara terbuka kerana kekurangan dari segi pembekal,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Sistem pemerolehan ini wajar dirombak tetapi memerlukan penelitian daripada akar umbi supaya tidak membuka peluang kepada mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan seperti sekarang.

Industri lain mungkin mengalami masalah yang sama tetapi ia mungkin nampak lebih ketara disebabkan pembekal industri pertahanan tidak banyak.

Beliau juga berkata, tentera mempunyai keperluan yang spesifik berdasarkan taktikal dan strategi.

Kerajaan pun tidak lama lagi mahu melancarkan dasar industri pertahanan negara, jadi sudah semestinya mempunyai pelan tindakan objektif yang khusus.

“Saya tidak mahu segala pelan perancangan terjejas disebabkan kepentingan pihak tertentu kerana mereka boleh mengambil keuntungan di atas penjualan kelengkapan yang tidak sepatutnya” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sistem pemerolehan aset pertahanan negara perlu dirombak bagi memastikan pelaksanaan proses itu lebih telus.

Beliau menegaskan, sistem pemerolehan aset pertahanan negara perlu diputuskan sendiri oleh tentera dan tidak lagi boleh diuruskan oleh pihak luar.

Loading...
Terkini