Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinannya tidak mengamalkan budaya memberikan ‘arahan’ kepada hakim bagi menggugurkan kes melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.
Tegasnya, keputusan pembebasan Rosmah tertakluk kepada kuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah.
Justeru, tidak munasabah bila ada pihak tertentu yang mahu menyamakan pentadbiran beliau dengan pentadbiran terdahulu di mana Perdana Menteri campur tangan dalam keputusan kes-kes mahkamah.
“Saya tidak menemui mana-mana hakim, saya tidak bicara dengan Ketua Hakim Negara dalam soal keputusan mahkamah. Kita hormati keputusan mahkamah. Kalau Peguam Negara merasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan Peguam Negara.
“Tapi saya tidak fikir perkara ini perlu jadi kontroversi. Keputusan dilepas tanpa dibebaskan kepada pembangkang juga ramai, dan keputusan ini telah diambil dan kita akan baca dan teliti keputusan hakim,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Melancarkan Buku “Malaysia First Jilid 1 & 2” oleh Tan Sri Lim Kit Siang, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut mengulas mengenai pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Di-Pertua negeri Sabah.
“Pelantikan beliau dilakukan mengikut perlembagaan yang terletak dibawah kuasa negeri, dan Yang Di-Pertuan Agong. Setelah Agong perkenan, apa pendirian saya? Saya terima baik keputusan Agong dan mendoakan sebaiknya supaya Tun Musa Aman akan menjadi seorang Tuan Yang Terutama negeri yang baik untuk Sabah.
“Kes mahkamah melibatkan Tun Musa keputusannya dibuat tahun 2020, ketika kerajaan dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi apa isunya. Kemudian melalak, seolah-olah jadi masalah apa? Ada kes, di bawa. Tiada kes, ditutup,” tambahnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.