LANGKAWI: CenangHill Beachfront di sini, menawarkan penginapan RM10 semalam kepada pelancong yang terpaksa menangguh perjalanan pulang susulan pembatalan perjalanan feri dari Langkawi ke Kuala Kedah hari ini.
Resort tepi pantai yang terletak di Pantai Tengah itu mempunyai 12 bilik dan 32 katil asrama.
Pemiliknya, Faiz Sazali, berkata langkah itu bertujuan meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung sebahagian besar pelancong yang terjejas susulan pembatalan perjalanan feri secara mengejut.
“Difahamkan pembatalan perjalanan feri oleh syarikat pengendali disebabkan bencana alam, namun bagi penumpang mereka pasti terbeban kerana terpaksa mengeluar belanja tambahan yang tidak dijangkakan.
“Kami prihatin dan tampil menawarkan penginapan RM10 semalam untuk seorang bagi pelancong yang berhadapan kesulitan mencari penginapan pada waktu sukar ini,” katanya ketika dihubungi di sini, petang ini.
Beliau berkata, pelancong yang bercuti di pulau ini dan terjejas susulan cuaca buruk dan berminat dengan tawaran penginapan itu boleh menghubungi pihak resort menerusi talian 011-53680488 atau 019-4430477.
“Resort kami yang beroperasi sejak 2021 boleh memuatkan 60 tetamu pada satu masa dan insya-Allah selamat dari tiupan angin kuat dan ombak besar,” katanya.
Awal pagi ini, media melaporkan, sebanyak 10 perjalanan feri laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi terpaksa dibatalkan berikutan angin kencang dan ombak besar di perairan Kuala Kedah.
Pembatalan itu adalah bagi hari ketiga berturut-turut berikutan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer perjam (km/j) serta ombak setinggi 3.5 meter.
Media petang ini pula melaporkan operasi Terminal Penumpang Kuala Kedah ditutup tiga hari sehingga Sabtu ini, berikutan amaran berlaku angin kencang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam tempoh itu.
Sepanjang penutupan sementara Terminal Penumpang Kuala Kedah, penumpang dinasihatkan menukar laluan ke Terminal Penumpang Kuala Perlis sehingga cuaca kembali pulih.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa
| ARTIKEL BERKAITAN
- 567 penumpang terkandas, feri tersangkut beting pasir
- Feri terkandas di beting, teruskan perjalanan ke Langkawi
- 567 penumpang feri selamat tiba di Langkawi malam tadi
- Operasi feri Kuala Kedah-Langkawi-Kuala Kedah dihentikan berikutan ombak tinggi
- Operasi feri Langkawi di Terminal Kuala Kedah ditutup sehingga 21 September