KUALA LUMPUR: Sebuah firma guaman menawarkan khidmat guaman percuma kepada semua artis tempatan yang terjejas dengan pembatalan Good Vibes Festival (GVF) 2023 di Sepang, akibat perbuatan tidak senonoh kumpulan muzik British, The 1975.
Pesta muzik berkenaan yang dijadual berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini, dibatalkan serta-merta selepas mendapat arahan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Firma Managing Partner of Thomas Philip yang menyediakan tiga peguam untuk khidmat guaman secara ‘pro bono’ itu memaklumkan, pihaknya sepenuh hati bersedia mewakili artis dan vendor tempatan jika mereka mahu mengambil tindakan undang-undang.
“Ia sesuatu yang boleh dijangka akibat tindakan melulu kumpulan The 1975 itu. Kumpulan 1975 sepatutnya mematuhi skop kontrak, tidak sepatutnya ‘memberitahu’ bagaimana mentadbir negara kerana kerajaan mempunyai proses demokratik,” katanya dalam satu hantaran Facebook, semalam.
Menurut firma guaman berkenaan, peguam yang dilantik menguruskan kes itu akan menyediakan draf kerja tindakan bagi mewakili artis dan vendor tempatan terhadap The 1975.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang mungkin mempunyai kaitan dengan saman terhadap The 1975 seperti lokasi aset milik kumpulan itu, hubungi pasukan ‘pro bono’ kami,” katanya.
Semalam, Fahmi mengarahkan penganjuran GVF 2023 dibatalkan serta-merta dan penganjur diminta mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli tiket.
Menteri Komunikasi dan Digital itu melalui ciapan di Twitter, turut menyifatkan perlakuan Healy yang dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan dalam konsert berkenaan, sebagai biadap.
Malah, vokalis itu juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium pemain bass, Ross McDonalds di atas pentas.
Difahamkan, Healy terkenal dengan aksi gimik sering melakukan tindakan melulu dan tidak menghormati undang-undang negara di mana mereka membuat persembahan, malah kejadian sama pernah berlaku semasa persembahan di Dubai.
Artikel berkaitan : Pembatalan GVF 2023: Peniaga alami kerugian besar